Monday 14 October 2013

Ketenangan yang hilang



بسم الله الرحمن الرحيم


إِنَّ الْحَمْدُ لِلَّهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ وَنَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا مَنْ يَهْدِهِ اللَّهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُون

“Marilah kita beriman sejenak. Sesungguhnya hati lebih cepat berbolak-balik daripada isi periuk yang sedang menggelegak”
Perkataan ini diambil oleh Ibnu Rawaahah daripada Mu’az Bin Jabal lalu disampaikan kepada Abu Dardaa’ ra.

Jika saat ini kita disibukkan dengan urusan-urusan pembelajaran, pekerjaan di pejabat, urusan-urusan di rumah, rancangan-rancangan kegemaran di televisyen, pengikut-pengikut di muka buku, pengicau dan sebagainya; seharusnya kita berhenti dan merenung sejenak. Berfikir sebentar adakah sedikit-sebanyak ia merapatkan diri ini dengan Allah?

Jika semakin banyaknya ilmu, menjadikan diri kita semakin keras akhlaknya, semakin jauh dari orang ramai, maka ada perkara yang perlu kita periksa kembali.

Jika semakin banyak amanah yang dipegang membuatkan kita semakin ambil mudah hubungan kita dengan kaum kerabat malah dengan Tuhan sahaja berkira, maka ada perkara yang perlu kita periksa.

Jika urusan-urusan di rumah terabai, suami atau isteri dan anak-anak makin membuatkan kita serabut malah menyempitkan dada, maka ada perkara yang perlu kita periksa.

Ke mana hilangnya ketenangan? Ke mana perginya kebahagiaan dan keberkatan?

Hati manusia itu tersimpan semua perasaan. Perasaan sedih, gembira, bersyukur, keluh-kesah, bahagia, tenang dan hati juga yang melahirkan perasaan tersebut bagi pemiliknya. Hati menghantarkan isyarat kepada akal dan seterusnya kepada anggota badan. Jika baik pemiliknya menjaga hatinya, maka hati yang baik akan memancarkan aura ketenangan pada sikap dan luaran. Jika buruk dan sambil lewa pemiliknya menjaga hati, maka terlihat buruk pada sikap dan luaran. Dari dalam akan terbit pada lahiriahnya. Maka penting atau tidak penting untuk menjaga hati kita ini?

Penting. Kerana apa penting? *Senyum.

Kerana Allah s.w.t. melihat pada kondisi hati kita. Kondisi baik buruk hati kita. Bukan pada rupa paras hambanya, bukan juga pada melimpah-ruah harta hambanya. Cuba bayangkan jika itu yang menjadi ukuran? Sesungguhnya Allah s.w.t. jauh daripada sifat-sifat seorang hamba. Bergembiralah walaupun tidak memiliki paras yang menawan/kacak bergaya mahupun harta yang bertingkat-tingkat, kerana Allah  s.w.t. itu hanya melihat kondisi hati kita. Adil bukan? *Senyum bahagia. 

A028
"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia. {13:28}


Cermati masa kita. Apa yang kita isi ketika lapangnya? Adakah kita isi dengan perkara-perkara yang menghidupkan jiwa kita? Atau kita menggelapkannya lagi dengan perkara yang tidak bermanfaat dan melalaikan kita daripada mengingatiNya?




Majlis yang tak dipilih

Pernah tidak, kita merasakan ketenangan bila berada dalam apa jua majlis yang mengingatkan kita pada Allah? Atau selepas balik dari masjid mahupun surau, terasa lapang dada kita; perasaan tenang menyusup dalam hati kita.

A011

Wahai orang-orang yang beriman! Apabila dikatakan kepadamu, ''Berilah kelapangan di dalam majlis,'' maka lapangkanlah, nescaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan. {58:11}

Jika ya, Alhamdulillah Allah telah memilih hati kita untuk mengingatiNya. Bukan semua dapat peluang ini,tahu?

Mungkin saja ada diantara kita disibukkan dengan urusan-urusan belajar berkumpulannya, siaran liga bola sepaknya, drama-drama melayu di waktu maghribnya, tak termasuk lagi yang k-popers, nak buat cekodok, membeli tak belah-belah di mall dan seangkatan dengannya. Tiba-tiba, banyak yang ingin di buat sewaktu panggilan azan dilaungkan. Jika mendengar azan, diendahkan pula. Alahai.

Sehingga satu tahap, kita merasakan ada yang tidak kena pada diri kita. Buat itu salah. Buat ini pun salah juga. Perasaan sedih mula terbit. Malah, apabila diminta untuk buat keputusan, bingung hendak memutuskan apa yang terbaik. Bingung kenapa diri jadi begini.

Mungkin itulah tanda yang Allah hendak tunjukkan, yang kita sudah jauh denganNya. Maka, lapangkanlah 'hati' kita untuk menghadiri majlis-majlis ilmu mahupun berbulatan gembira. Lapangan masa kita untuk duduk beriman sejenak. Usah berkira-kira dengan masa yang ada, jika masa itu pun Tuhan yang beri. Kalau hati sudah lapang fikiran pun lega , akal pun terbuka dan rezeki yang halal pun dapat didatangkan Tuhan dengan lancar.

Mudah-mudahan dalam kita menunggu mesyuarat/kuliah, kita isi dengan bacaan tilawah.
Mudah-mudahan dalam sesak jalan dengan manusia yang penat dan pelbagai ragam, kita sejukkan hati dengan istighfar dan zikrullah.
Mudah-mudahan dalam apa jua keadaan, hati dan ingatan tidak pernah lupa untuk mengingatiNya. Kerana apa? Hanya dengan mengingati Allah s.w.t. hati itu akan menjadi tenang. 

No comments:

Post a Comment