Sunday 4 October 2015

Panduan yang dilupakan

Dan berkatalah Rasul: "Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini suatu yang diabaikan". {25.30}


Sesak dada ini melihat keadaan masyarakat sekarang. Kawasan kejiranan yang dulunya selamat, bebas untuk bermain sana-sini, panjat pokok itu pokok ini, mandi-manda bersama anak-anak kejiranan yang lain, bahkan, tiada langsung kebimbangan dalam hati. Kini, suasana berubah, akhbar-akhbar di hiasi dengan berita yang saban hari semakin membarah. Manakan tidak, sedari kecil lagi telah didedahkan dengan perkara yang tidak sihat, dihidangkan dengan rancangan yang terus membuat masyarakat hanyut dalam hiburan yang melampau, pergaulan bebas lelaki perempuan dalam drama/filem, isu rokok dan vape, pertelingkahan ahli-ahli pemimpin, program bintang-bintang, dan senarai  hiburan terus memanjang. Terlalu banyak!

Al-hasil, kita dapat lihat sendiri bagaimana masyarakat kita selepas disantapkan dengan pelbagai program diatas. Barang rampasan di sekolah kini bukan lagi pensil mekanikal! Tapi, vape, rokok; belum lagi kes buli patah riuk sana-sini berebut lelaki, tonton video porno berjemaah, kes buang anak yang semakin lali di telinga, kes rompak, curi, bahkan bunuh ibu/bapa sendiri untuk memenuhi nafsu. Jika dua abad yang lalu, kes-kes sebegini sangat jarang berlaku, hanya terdengar desas-desus sahaja atau hanya berlaku di peringkat usia atasan sahaja. Mari kita bandingkan dengan masa kini. Masalah ini telah sampai ke peringkat yag paling muda! Tenat.

Apa yang diharapkan sebenarnya?

Pernah atau tidak kita bayangkan satu kehidupan di mana masyarakat kita ini menjadi yang paling maju, bukan sahaja dalam bidang ilmu dan teknologi, malah berakhlak dan bersahsiah tinggi, tiada isu rasuah, tiada isu buang anak, tiada rasa kebimbangan untuk hantar anak ke sekolah berasrama, urusan jual-beli yang menguntungkan kedua-dua pihak, tiada yang mengemis, tiada yang ditindas dari segi agama mahupun hak-hak yag lain. Semua urusan berlaku dengan adil dan saksama seawal dari diri sendiri, keluarga, hingga kepada masyarakat dan seterusnya pada negara. Pernah? 

Mimpi rakyat marhaen di siang hari mungkin. Getus hati kecil.

Tidak! Sekali lagi tidak!

Ini boleh terjadi. Dengan izin-Nya.

Keadaan masyarakat kita sekarang ini pernah terjadi dan di ceritakan secara berulang-ulang. Masalah yang di hadapi kita sekarang ini pernah dihadapi oleh orang terdahulu. Dan sudah ada solusi!

Inilah rahsia mereka

Tengoklah pada generasi awal Islam. Mereka meletakkan Alquran dan menyambutnya secara baik. Hati mereka berdamai dengan ayat-ayat dan menyambutnya dengan baik. Mereka dapat memimpin dunia dalam beberapa tahun sahaja.

Syed Qutb dalam buku Muqawwimat al-Tashawur al-Islami mengatakan:

'Aku telah menyelami masa lalu, mengkaji biografi beberapa generasi muslim awal. Kumasuki jantung mereka, kurasakan wujud Allah dan kehadiranNya mengalir dalam setiap denyut perasaan mereka, bergetar di lubuk hati mereka, dan memantul dalam kehidupan mereka. Aku tertanya-tanya, bagaimana ini boleh wujud begitu sempurna?

Aku terus berusaha menelusuri bagaimana wujud Allah dan kehadiranNya begitu sempurna, menancap di hati dan kehidupan mereka. Usahaku hampa, tidak ada jawapan yang kudapat. Akhirnya aku kembali kepada AlQuran, mencermati tema dasarnya: mewujudkan hakikat ilahiah dan penghambaan manusia kepada Allah setelah mengenal-Nya.

Disitulah aku menemukan rahsia di sebalik kesempurnaan generasi muslim awal itu. Aku menjadi tahu di mana dan bagaiman generasi yang sangat eksklusif dalam sejarah itu dibangunkan.

Mereka adalah generasi yang akrab dengan Al-Quran, hidup dengan jalan Al-Quran, mengikut petunjuk Al-Quran. AlQuran meliputi segala sesuatu, menjadi sumber segala sesuatu,dan segala sesuatu berhubung dengannya, darinya segala sesuatu terbentuk. Dalam semua itu, aku bertemu dengan hakikat 'ketuhanan' menjelma dalam diri sebahagian manusia. Ku berjumpa dengan 'generasi Rabbani' yang selalu berhubung dengan Allah, hidup bersama dengan Allah dan untuk Allah. Tidak ada dalam hati dan kehidupan mereka selain Allah.

Ketika hakikat 'ketuhanan' itu hadir dalam diri manusia, sehingga wujud generasi 'rabbani', maka hilanglah sekatan masa, mereka hidup dalam masa tanpa batas. Yang ada adalah hakikat 'ketuhanan' .. Allah bertindak di dunia dan di kehidupan manusia dengan 'sedikit' anugerahnya itu.

Tidak ada lagi halangan yang membantutkan manusia dalam usaha kuat mereka. Tidak ada batasan-batasan yang biasa manusia gunakan untuk menimbang sesuatu atau peristiwa. Yang ada hanya keadaan baru dan Islami, bersama dengan adanya insan baru dan sejati.'

AlQuran solusi kita


Jika AlQuran mampu melahirkan generasi awal muslim yang gemilang, nescaya ia juga mampu melahirkan generasi baru yang akan membebaskan umat ini dari krisis, lalu mengembalikan mereka ke puncak keagungan. Ini bukan mimpi, bukan khayalan melainkan fakta yang sudah pun dibuktikan.

Suatu ketika, Nabi pernah mengatakan kepada sahabat Huzaifah ibn Al-Yaman tentang perpecahan dan sengketa dalam tubuh umat yang akan terjadi sepeninggal baginda. Hudzaifah berkata,'Apa yang harus kulakukan jika aku menjumpai masa itu?' Tiga kali Hudzaifah bertanya demikian. Tiga kali pula Nabi menjawab, 'Pelajari AlQuran dan amalkan. Kau akan mendapat jalan keluar.'-Riwayat Abu Daud, Al-Nasa'i dan Al Hakim dalam al-Mustadrak.

AlQuran adalah khazanah agung dan lengkap, menyajikan menu yang diperlukan setiap ornag agar dicintai dan diredhai Allah, yang juga diperlukan umat agar bangkit dari kejatuhan berabad-abad. Iqbal dalam Rawa'i Iqbal, al-Nadawi, per. 185, mengatakan 'AlQuran lebih daripada sebuah kitab. Jika ia masuk ke hati, manusia akan berubah menjadi lebih baik. Dan, bila manusia berubah maka dunia pun berubah.'

Lebih menyeluruh manfaatnya bila membaca dengan pemahaman, renungan yang mendalam, dan kepekaan. Mari kita memahami dan menghayati AlQuran bukan sekadar membaca untuk meraih pahala dan ganjaran, meskipun membaca AlQuran tanpa memahaminya sudah memperoleh pahala.

-Buku Agar AlQuran Menjadi Teman (Dr. Majdi al-Hilali)